3. kesantunan bahasa
Mengapakan kesantunan berbahasa amat dituntut kepada mereka yang berbicara? Menurut Asmah (2005), bentuk dan tutur bahasa yang santun akan mewujudkan ikatan perhubungan sosial antara manusia serta boleh menimbulkan proses komunikasi yang berkesan. Menurut Awang Sariyan (2009), bahasa berfungsi sebagai alat yang berperanan dalam pembinaan insan dan pembangunan masyarakat. Santun berbahasa merujuk kepada penggunaan ciri-ciri bahasa yang baik, beradab, mempunyai nilai penghormatan serta mencerminkan keperibadian mulia. Kesantunan bahasa juga menyentuh tentang penggunaan bahasa yang tidak menimbulkan kegusaran, serta tidak menyinggung perasaan pendengar.
Teknik kesantunan berbahasa:
-
Teknik Doa: Memulakan komunikasi dengan ucapan bismillah atau al-fatihah
-
Teknik bersyukur: Ungkapan-ungkapan yang melambangkan kesyukuran atas rasa berterima kasih kepada Allah SWT kerana memberikan kebaikan kepada penutur atau kepada keluarga mereka
-
Teknik salam: Teknik penutur memulakan dengan salam sebelum berbicara atau berunding boleh dianggap sebagai salah satu cara menyapa atau menegur mesra
-
Teknik Insya-Allah: Perkataan Insya-Allah merupakan ungkapan yang bermaksud dengan izin Allah SWT. Menjadi kelaziman bagi mereka yang berkomunikasi akan menggunakan perkataan ini sebagai persetujuan atau sebagai ungkapan janji dalam urusan yang akan datang
-
Teknik Tawakkal: Penutur yang menggunakan teknik ini mempamerkan sikap rendah diri kepada Allah SWT yang berkuasa. Sesuatu yang baik atau buruk ditentukan oleh Allah SWT. Teknik tawakkal dalam pertuturan merupakan teknik yang mampu mengurangkan ancaman muka dan rasa kurang senang sama ada dalam kalangan penutur atau pendengar.
Masyarakat kita sedang menghadapi krisis pembudayaan bahasa Melayu dalam komunikasi, apatah lagi komunikasi yang bersifat rasmi. Kian ketara ialah pengabaian sejumlah anggota
masyarakat pelbagai lapisan terhadap bahasa sebagai unsur teras kebudayaan dan tamadun.” Demikian ditegaskan oleh tokoh bahasa, Profesor Dr. Haji Awang Sariyan ketika membentangkan kertas utama yang bertajuk Melestarikan Bahasa Melayu dalam Komunikasi dalam Seminar Kesantunan Berbahasa Peringkat Kebangsaan pada 28 hingga 29 Mac 2007 di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu.
Tegas beliau, “krisis pembudayaan bahasa Melayu dapat diperhatikan dalam dua bentuk, iaitu, krisis pembudayaan dalam hal taraf dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu, dan krisis pembudayaan tentang mutu penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai ranah seperti pentadbiran, media massa, pendidikan dan di tempat awam. Pelestarian bahasa Melayu dari sudut taraf dan fungsinya serta penggunaannya penting untuk menyuburkan amalan komunikasi yang baik dan berkesan, sekali gus dapat mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tonggak tamadun bangsa.”
Seminar anjuran Institut Perguruan Sultan Mizan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Kerajaan Negeri Terengganu ini bertujuan untuk menghayati dan menerapkan bentuk serta strategi komunikasi yang bersopan dan beretika bagi mengatasi kepincangan aspek penghayatan nilai serta adab kesopanan dan kesantunan berbahasa yang semakin diabaikan dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, seminar ini diharapkan dapat memberikan input dan maklumat baharu kepada para ilmuwan dan pentadbir sekolah agar dapat menerapkan aspek kesantunan berbahasa dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) sekali gus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan.
Seminar yang dihadiri oleh 200 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, pegawai kerajaan, guru, bakal pendidik, penggiat bahasa dan masyarakat umum ini telah dirasmikan oleh Pengarah Institut Perguruan Sultan Mizan, Tuan Haji Nik Arif Raja Yusof. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa “penerapan kesantunan dan budi bahasa dalam komunikasi amat penting untuk membentuk generasi yang berkualiti dan berkeperibadian tinggi. Oleh itu, beliau berharap agar seminar ini dapat menyemarakkan rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan, mengangkat martabat bahasa Melayu dan menyuntik semangat para peserta agar terus menjadikan budaya santun berbahasa sebagai amalan.”
Seminar ini berjaya menarik tumpuan peserta melalui pembentangan kertas kerja oleh tokoh-tokoh tersohor seperti Bapak H. Tenas Affendi dengan tajuk kertas kerja Kesantunan Berbahasa dalam Konteks Sosial. Dalam kertas kerjanya beliau mengajak peserta menghayati nilai-nilai kesantunan yang terkandung dalam pantun dan ungkapan adat Melayu. Di samping Bapak H. Tenas Affendi, turut membentangkan kertas kerja ialah Y. Bhg. Datuk Haji A. Aziz Deraman, Prof. Madya Dr. Ahmad Mahmood Musanif (UPM), Tuan Haji Mohd Samsudin Mahmod dan Dr. Robiah Kulop Hamzah (Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia).
Rumusan yang dicapai daripada pembentangan enam kertas kerja dalam seminar ini ialah kesantunan berbahasa dalam komunikasi perlu dipupuk dari semasa ke semasa agar dapat melahirkan masyarakat atau modal insan yang berkaliber dan berkualiti, selari dengan cabaran globalisasi demi kepentingan agama, bangsa dan negara

